Selasa, 29 September 2009

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha


PUASA ENAM BULAN SHAWAL

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya ” … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Selasa, 15 September 2009

Lailatul Qadar

AL QADAR OH AL QADAR

Bila datang bulan Ramadan pada setiap tahun umat Islam diperingatkan semula tentang satu malam yang begitu besar maknanya iaitu malam al-Qadar. Malam al-Qadar atau dalam bahasa arab disebut lailatul Qadar terdapat beberapa makna. Lailatul Qadar menurut Ibnu Abbas, Ikrimah dan Sa’id bin Jubair membawa maksud malam keputusan; atau malam penetapan. Manakala tafsir Qurtubi dalam menjelas ayat surah al-nasr pula menjelaskan bahawa maknanya adalah malam yang sempit.

Dinamakan demikian kerana pada malam itu bumi sesak ataupun dipenuhi dengan para malaikat. Dalam al-Quran disebut oleh Allah SWT bahawa malam tersebut ganjarannya seumpama seribu bulan. Lailatul qadr merupakan malam yang diberkahi. Allah Ta’ala berfirman al-Dukhan ayat 1-6 yang bermaksud;

“Haa Miim. Demi Kitab (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Bagi mereka yang teguh imannya pastinya akan berasa terkejut dengan hadiah Allah SWT yang begitu besar bagi mereka yang benar-benar memperolehi malam tersebut.

Bandingan satu malam yang dinamakan sebagai malam al-qadar dengan seribu bulan sama juga seumpama 83 tahun. Kiraan secara zahir ini menunjukan betapa besar pahala yang Allah swt berikan kepada umatnya bagaimana tempoh 83 tahun tersebut seolah-olah satu umur bagi seorang manusia yang hidup dimuka bumi ini. 83 tahun adalah tempoh agak panjang sebagai manusia, namun satu malam Al-Qadar itu amat bermakna sekali. Namun dalam huraian hadith begitu banyak penjelasan diberikan tentang tarikh sebenar bilakah malam al-qadar tersebut.

Perdebatan yang dilakukan oleh para ulama dan muhaddithin ini mengundang kita memikirkan kenapakah tiada satu masa yang tunggal bagi kita untuk mendapat ketetapan Allah swt agar kita sedia dan mampu meraih malam al-qadar dengan mudah. Firman Allah SWT dalam surah al-qadar ayat 1-5 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."

Pengurniaan malam al-qadar oleh Allah swt dalam bulan Ramadan dengan segala perselisihan masa yang tepat bilakah ianya berlaku mengundang kita sebagai hambaNya berfikir apakah makna disebalik anugerah ini. Sebagai pencipta alam ini pastinya Allah menghendaki kita agar sentiasa bersedia tidak kira pada awal masa, pertengahan dan akhir Ramadan agar sentiasa berusaha mencari bilakah malam al-Qadar sebenarnya. Ertinya disini Allah SWT ingin menguji dan menawarkan kita satu pertandingan di kalangan hamba-Nya siapakah dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas mencari malam al-Qadar.

Wujudnya kesedaran untuk mencari malam al-qadar ini tidak akan terbit semata-mata untuk berada dalam suasana hening malam dan bangun untuk melihat peristiwa apa yang bakal berlaku semata-mata. Namun disebalik usaha dan ikhtiar manusia mencari malam al-Qadar ini selain merebut pahala berganda tersebut adalah manifestasi cinta kita kepada Tuhan yang menganugerahkan nikmat dan kasih sayangnya kepada seluruh hambaNya.

Cinta kita kepada Allah yang ikhlas dan kasih sayang yang diterima tanpa berbelah bahagi daripadaNya yang mampu membangkitkan kesedaran iman dan taqwa untuk mencari malam al-Qadar tersebut kerana telah dijanjikan Allah s.w.t bahawa pada malam tersebut diturunkan para malaikat untuk melihat dunia siapakah yang sedang melaksanakan ibadah kepada Tuhannya. Tanpa rasa cinta dah kasih kepada tuhan mana mungkin kita bersedia untuk bangun malam, membuka segala kelemahan kepada Nya, memohon keampunan dan mendoakan kesejahteraan hidup didunia. Hanya mereka yang teguh iman, tegap taqwanya bersedia menghadapi ujian bangun malam
dengan gigih.

Inilah hakikat pencarian malam al-Qadar yang harus dipelajari. Pencarian ini juga jangan dilihat sebagai satu usaha yang kosong dan dijadikan pesta untuk meraih malam yang penuh barakah ini. Mulakan diri dengan kesedaran dan tingkatkan rasa iman yang benar–benar semata-mata untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Mari kita sama-sama renung Firman Allah dalam surah saba’ ayat 46 yang bemaksud;

"Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri;kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)'"

Sesungguhnya sebagai Khaliq dan pencipta alam ini, sudah tentulah Allah SWT ingin melihat melalui kekuasaan siapa di kalangan mereka hamba-Nya yang benar-benar berusaha dalam mencari peluang dan ruang malam al-qadar tersebut. Malam yang penuh dengan barakah ini dijanjikan Allah dengan pahala yang cukup besar melalui solat-solat sunat, tilawah Al-Qur’an dan muhasabah diri agar kita kembali merapatkan jurang yang sudah jauh dengan Allah swt. Sebagai hambaNya yang beriman sikap mencari keredaan Allah mesti dicipta dalam diri. Marilah kita bina kekuatan mencari malam al-Qadar dengan cinta dan kasih pada-Nya.

MALAM AL QADAR

Segala puji saya panjatkan ke hadrat Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Begini antara isi tazkirah :

Di salah satu lapis langit ada satu benda atau binaan yang bernama Baitul Makmur, seumpama Kaabah di Mekah. Baitul Makmur itu akan dikelilingi (tawaf) oleh para malaikat sambil memuji Allah.

Justeru terlalu ramainya malaikat maka setiap seorang malaikat tersebut tidak akan berjaya tawaf Baitul Makmur itu dua kali sehingga tiba kiamat. Maksudnya giliran seorang malaikat untuk mengelilingi Baitul Makmur lebih dari sekali tidak kesampaian lantaran terlalu ramai. Jika di muka bumi, setiap jemaah haji atau umrah berjaya tawaf Kaabah berkali-kali.

Seramai itulah malaikat yang akan turun ke bumi di malam al-Qadar. Subhanallah! Bayangkan berapa ramai melaikat dengan setiap satunya mempunyai banyak sayap meliputi muka bumi ini. Payah untuk kita bayangkan malaikat yang memiliki banyak sayap. Kita hanya dapat bayangkan maksimum empat sayap di badan serangga.

Turunnya malaikat ke langit dunia untuk memberi salam kesejahteraan kepada setiap manusia yang baramal di malam itu. Bayangkan jika kita baca Quran waktu itu. Pahala bacaan untuk 1,000 bulan. Jika seorang hamba sedang solat terawikh, tahajud, taubat, bayangkan hamba itu bersolat sampai mati, tidak henti-henti, tanpa makan dan minum. SUBHANALLAH!

Salam itu adalah doa sejahtera malaikat yang diketuai oleh Jibrail. Ia benar-benar mustajab kerana ia akan terus diangkat ke hadrat Allah tanpa sebarang hijab.

Menurut ustaz tersebut (saya lupa nama beliau) individu yang memperoleh doa kesejahteraan para malaikat itu akan ada tanda-tandanya di dunia. Antaranya ialah semua anak-anak akan menjadi ‘orang’, iaitu berjaya dalam kehidupan dan baik perilakunya. Kalau berniaga, bisnes sikit sahaja terus menjadi. Tiada sebarang masalah dalam rumahtangga, serta rezeki sentiasa melimpah ruah.

Zuriat keturunan jadi orang baik-baik kerana ia akan turut terbawa-bawa ke generasi kita seterusnya.

Alangkah beruntungnya insan yang beramal/qiam di malam al-Qadar dan menerima doa kesejahteraan para malaikat yang terus diangkat ke kadrat Allah. Malam 10 terakhir Ramadhan, insyaAllah, sahabat.