Senin, 16 November 2009

KELEBIHAN HAJI DAN FADILATNYA

KELEBIHAN HAJI DAN FADILATNYA

Firman Allah SWT:

وأتمّوا الحجّ والعمرة لله .................."
“ Dan Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah…. ……“
(al-Baqarah: ayat 196)


فمن حجّ البيت اواعتمر فلاجناح عليه ان يّطّوّف بهما.
“Maka barang siapa yang hendak melakukan haji ke Baitulallah atau melakukan umrah, maka tidaklah menjadi halangan baginya bahawa ia berlari-lari antara keduanya”.

(Al-Baqarah: ayat 158)


Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W: Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan-perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan-perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari di mana ibunya melahirkannya."

(Mutafaquun Alaih).


Daripada Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya”.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Ibadat Haji dan Umrah adalah syariat agama Allah s.w.t yang mengandungi rahsia-rahsia dan hikmat-hikmat. Di antara hikmat-hikmat yang dapat diselami adalah untuk melatih umat Islam supaya bersatu haluan dalam mempertingkatkan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah s.w.t. supaya perhubungan di antara masyrakat Islam terjalin lebih erat dan lebih mesra lagi tanpa mengira warna kulit biarpun berlainan bahasa percakapan, adat resam dan kebudayaan. Bagi amalan Sa’ie direnung kembali peristiwa Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim a.s. yang lari berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah di tengah-tengah padang pasir yang cuacanya panas dan kering untuk mencari air bagi anaknya yang masih bayi. Bila Siti Hajar kembali kepada anaknya dilihat air zam-zam terpancar dari bumi tempat letak kaki Nabi Ismail a.s.

Daripada peristiwa ini umat Islam dapat menanam semangat perjuangan supaya terus berusaha dan tidak mudah putus asa melalui rintangan kehidupan. Mengerjakan haji dan umrah sesungguhnya keduanya menghapuskan dosa. Sekiranya ibadat tersebut mendapat mabrur (amalan baik yang diterima oleh Allah s.w.t.) akan memperolehi syurga.

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dosa-dosa yang dilakukan selepas satu umrah diampunkan melalui umrah yang berikutnya". Oleh itu, apa yang telah dilakukan di antara dua umrah akan terputus. Hikmat kedua-dua kota di Tanah Suci iaitu amalan ibadatnya digandakan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. bahawa sesudah Mekah, maka tidak ada tanah yang lebih utama di bumi ini daripada kota Madinah yang digelarkan dengan nama Madinadul Rasul atau kotanya Rasulullah s.a.w. Amalan-amalan yang dilakukan di Masjid Nabawi akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan juga mendapat syafa’at daripada Rasulullah s.a.w. Baginda juga bersabda yang bermaksud bahawa solat di Masjid Nabawi lebih afdal daripada masjid-masjid yang lain sebanyak seribu kali solat kecuali Masjidil Haram, manakala bersolat di masjidnya sebanyak empat puluh waktu dengan tidak tinggal walaupun satu waktunya nescaya dilepaskan mereka daripada azab neraka dan juga azab kubur.

Sesungguhnya orang–orang yang mengerjakan haji dan umrah, adalah utusan Allah s.w.t. sekiranya mereka memohon sesuatu, dikurniakanNya; jika mereka berdoa, dimakbulkan doanya; dan jika mereka membelanjakan sesuatu maka digantikanNya. Ibadat umrah adalah lambang perpaduan umat Islam yang sentiasa berada dalam ikatan kukuh bagi memperkasakan maruah umat dan kesucian Islam. Umpamanya menerusi aktiviti tawaf dapat dilihat dengan jelas semangat perpaduan dan persaudaraan umat Islam adalah erat sesama manusia, tidak kira raja, rakyat miskin atau kaya, sama sahaja taraf mereka ketika mengerjakan ibadat dan semuanya berpakaian seragam (ihram) bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan memartabatkan imej dan meningkatkan syiar Islam di persada dunia

Senin, 02 November 2009

Aidiladha

Selamat Datang Aidiladha

Kita akan bertemu bulan Zulhijjah tidak berapa lama lagi. Terdapat beberapa hadith yang menggalakkan kita berbuat byk amalan dan ibadah pada bulan ini terutamanya pada 10 hari pertama.Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu 'Abbas r.a bahawaNabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah. Antara amalan yang mudah utk kita laksanakan adalah dengan berpuasa. Puasa adalah amalan yg mudah utk kita lakukan memandang kita tidak mampu utk melakukan ibadah seperti umrah kerana berada di perantauan. Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang mendatang. Perbykkan zikir juga amalan yang boleh diamalkan. Perlu utk dilakukan juga pada bulan2 yg lain. Oleh itu, bagi yang masih kurang seperti saya sendiri, mari kita mulakan dari bulan ini utk bykkan berzikir, bertasbih, bertakbir, selawat dan sebgainya berbanding berckp kosong....Kepada mereka yang berkesempatan utk meraikan aidiladha, berusahalah utk mendirikan solat hari raya dan dgrlah khutbah agar dpt pengajaran darinya. raikanlah dengan penuh kesyukuran dan jgnlah cemari dgn kerja2 maksiat yg boleh menghilangkan amalan2 yang telah dilakukan.Antara peristiwa penting di dalam bulan Zulhijjah, selain peristiwa korban yang blh kita kongsi bersama;1.Rasul kita Muhammad s.a.w berniaga bersama dagangan Khadijah ke Syam, dan di situ, baginda diberitahu ttg kenabiannya oleh pendita Nasturah.2.Peristiwa Baiah Al-Aqabah pada tahun ke-13 kenabian. Ia disertai oleh 73 lelaki dan 2 perempuan dari kaum Aus dan Khazraj. 3.Kelahiran Ibrahim, putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya Maryah Qibtiyah.Selamat Menyambut Aidiladha..

Selasa, 29 September 2009

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha


PUASA ENAM BULAN SHAWAL

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya ” … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Selasa, 15 September 2009

Lailatul Qadar

AL QADAR OH AL QADAR

Bila datang bulan Ramadan pada setiap tahun umat Islam diperingatkan semula tentang satu malam yang begitu besar maknanya iaitu malam al-Qadar. Malam al-Qadar atau dalam bahasa arab disebut lailatul Qadar terdapat beberapa makna. Lailatul Qadar menurut Ibnu Abbas, Ikrimah dan Sa’id bin Jubair membawa maksud malam keputusan; atau malam penetapan. Manakala tafsir Qurtubi dalam menjelas ayat surah al-nasr pula menjelaskan bahawa maknanya adalah malam yang sempit.

Dinamakan demikian kerana pada malam itu bumi sesak ataupun dipenuhi dengan para malaikat. Dalam al-Quran disebut oleh Allah SWT bahawa malam tersebut ganjarannya seumpama seribu bulan. Lailatul qadr merupakan malam yang diberkahi. Allah Ta’ala berfirman al-Dukhan ayat 1-6 yang bermaksud;

“Haa Miim. Demi Kitab (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Bagi mereka yang teguh imannya pastinya akan berasa terkejut dengan hadiah Allah SWT yang begitu besar bagi mereka yang benar-benar memperolehi malam tersebut.

Bandingan satu malam yang dinamakan sebagai malam al-qadar dengan seribu bulan sama juga seumpama 83 tahun. Kiraan secara zahir ini menunjukan betapa besar pahala yang Allah swt berikan kepada umatnya bagaimana tempoh 83 tahun tersebut seolah-olah satu umur bagi seorang manusia yang hidup dimuka bumi ini. 83 tahun adalah tempoh agak panjang sebagai manusia, namun satu malam Al-Qadar itu amat bermakna sekali. Namun dalam huraian hadith begitu banyak penjelasan diberikan tentang tarikh sebenar bilakah malam al-qadar tersebut.

Perdebatan yang dilakukan oleh para ulama dan muhaddithin ini mengundang kita memikirkan kenapakah tiada satu masa yang tunggal bagi kita untuk mendapat ketetapan Allah swt agar kita sedia dan mampu meraih malam al-qadar dengan mudah. Firman Allah SWT dalam surah al-qadar ayat 1-5 yang bermaksud;

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."

Pengurniaan malam al-qadar oleh Allah swt dalam bulan Ramadan dengan segala perselisihan masa yang tepat bilakah ianya berlaku mengundang kita sebagai hambaNya berfikir apakah makna disebalik anugerah ini. Sebagai pencipta alam ini pastinya Allah menghendaki kita agar sentiasa bersedia tidak kira pada awal masa, pertengahan dan akhir Ramadan agar sentiasa berusaha mencari bilakah malam al-Qadar sebenarnya. Ertinya disini Allah SWT ingin menguji dan menawarkan kita satu pertandingan di kalangan hamba-Nya siapakah dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas mencari malam al-Qadar.

Wujudnya kesedaran untuk mencari malam al-qadar ini tidak akan terbit semata-mata untuk berada dalam suasana hening malam dan bangun untuk melihat peristiwa apa yang bakal berlaku semata-mata. Namun disebalik usaha dan ikhtiar manusia mencari malam al-Qadar ini selain merebut pahala berganda tersebut adalah manifestasi cinta kita kepada Tuhan yang menganugerahkan nikmat dan kasih sayangnya kepada seluruh hambaNya.

Cinta kita kepada Allah yang ikhlas dan kasih sayang yang diterima tanpa berbelah bahagi daripadaNya yang mampu membangkitkan kesedaran iman dan taqwa untuk mencari malam al-Qadar tersebut kerana telah dijanjikan Allah s.w.t bahawa pada malam tersebut diturunkan para malaikat untuk melihat dunia siapakah yang sedang melaksanakan ibadah kepada Tuhannya. Tanpa rasa cinta dah kasih kepada tuhan mana mungkin kita bersedia untuk bangun malam, membuka segala kelemahan kepada Nya, memohon keampunan dan mendoakan kesejahteraan hidup didunia. Hanya mereka yang teguh iman, tegap taqwanya bersedia menghadapi ujian bangun malam
dengan gigih.

Inilah hakikat pencarian malam al-Qadar yang harus dipelajari. Pencarian ini juga jangan dilihat sebagai satu usaha yang kosong dan dijadikan pesta untuk meraih malam yang penuh barakah ini. Mulakan diri dengan kesedaran dan tingkatkan rasa iman yang benar–benar semata-mata untuk mencari keredhaan Allah semata-mata. Mari kita sama-sama renung Firman Allah dalam surah saba’ ayat 46 yang bemaksud;

"Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri;kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)'"

Sesungguhnya sebagai Khaliq dan pencipta alam ini, sudah tentulah Allah SWT ingin melihat melalui kekuasaan siapa di kalangan mereka hamba-Nya yang benar-benar berusaha dalam mencari peluang dan ruang malam al-qadar tersebut. Malam yang penuh dengan barakah ini dijanjikan Allah dengan pahala yang cukup besar melalui solat-solat sunat, tilawah Al-Qur’an dan muhasabah diri agar kita kembali merapatkan jurang yang sudah jauh dengan Allah swt. Sebagai hambaNya yang beriman sikap mencari keredaan Allah mesti dicipta dalam diri. Marilah kita bina kekuatan mencari malam al-Qadar dengan cinta dan kasih pada-Nya.

MALAM AL QADAR

Segala puji saya panjatkan ke hadrat Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa. Begini antara isi tazkirah :

Di salah satu lapis langit ada satu benda atau binaan yang bernama Baitul Makmur, seumpama Kaabah di Mekah. Baitul Makmur itu akan dikelilingi (tawaf) oleh para malaikat sambil memuji Allah.

Justeru terlalu ramainya malaikat maka setiap seorang malaikat tersebut tidak akan berjaya tawaf Baitul Makmur itu dua kali sehingga tiba kiamat. Maksudnya giliran seorang malaikat untuk mengelilingi Baitul Makmur lebih dari sekali tidak kesampaian lantaran terlalu ramai. Jika di muka bumi, setiap jemaah haji atau umrah berjaya tawaf Kaabah berkali-kali.

Seramai itulah malaikat yang akan turun ke bumi di malam al-Qadar. Subhanallah! Bayangkan berapa ramai melaikat dengan setiap satunya mempunyai banyak sayap meliputi muka bumi ini. Payah untuk kita bayangkan malaikat yang memiliki banyak sayap. Kita hanya dapat bayangkan maksimum empat sayap di badan serangga.

Turunnya malaikat ke langit dunia untuk memberi salam kesejahteraan kepada setiap manusia yang baramal di malam itu. Bayangkan jika kita baca Quran waktu itu. Pahala bacaan untuk 1,000 bulan. Jika seorang hamba sedang solat terawikh, tahajud, taubat, bayangkan hamba itu bersolat sampai mati, tidak henti-henti, tanpa makan dan minum. SUBHANALLAH!

Salam itu adalah doa sejahtera malaikat yang diketuai oleh Jibrail. Ia benar-benar mustajab kerana ia akan terus diangkat ke hadrat Allah tanpa sebarang hijab.

Menurut ustaz tersebut (saya lupa nama beliau) individu yang memperoleh doa kesejahteraan para malaikat itu akan ada tanda-tandanya di dunia. Antaranya ialah semua anak-anak akan menjadi ‘orang’, iaitu berjaya dalam kehidupan dan baik perilakunya. Kalau berniaga, bisnes sikit sahaja terus menjadi. Tiada sebarang masalah dalam rumahtangga, serta rezeki sentiasa melimpah ruah.

Zuriat keturunan jadi orang baik-baik kerana ia akan turut terbawa-bawa ke generasi kita seterusnya.

Alangkah beruntungnya insan yang beramal/qiam di malam al-Qadar dan menerima doa kesejahteraan para malaikat yang terus diangkat ke kadrat Allah. Malam 10 terakhir Ramadhan, insyaAllah, sahabat.

Selasa, 05 Mei 2009

JAMAK DAN QASAR

Jamak Dan Qasar

Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:
1.0 Solat Qasar
1.1 Takrifan
Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.
1.2 Hukum Qasar
Harus berdasarkan kepada dalil berikut: i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;
“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”
ii. Al-Sunnah yang bermaksud;
‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya” (Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)
1.3 Jarak Dibenarkan Qasar
Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.
1.4 Syarat Solat Qasar
i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.
ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu). iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram. iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna). v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.
1.5 Contoh Niat
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى (Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)

2.0 Solat Jama'
2.1 Takrifan
Solat Jama’ terbahagi kepada :
i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib. ii.Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.
2.2 Syarat Solat Jama’
2.2.1.Solat Jama’ Taqdim i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'. ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram. iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu. iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua. v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).
2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib. ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.
2.3 Contoh Niat
2.3.1 Jama’ Taqdim
i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى (Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى (Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)
2.3.2 Jama’ Ta’khir
i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat
أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى (Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)
ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى (Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

Kamis, 23 April 2009

Qada Dan Qadar

Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.Isu yang hangat diperkatakan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: "Imam Al-Khathabi telah berkata: 'Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..' Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu."Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: "Mengapa kamu mencuri?" Lelaki itu menjawab: "Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya." Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: "Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya." Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: "Mengapa hukumannya begitu berat?" Berkata Omar Al-Khattab ra: "Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah." Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada Omar ra: "Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?' Omar ra menjawab: "Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain." (Tarikh At-Tabari)Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.Takdir mempunyai beberapa bahagian, pertama ialah takdir di dalam ilmu Allah yang azali. Ia bermaksud Allah telah mengetahui segala-galanya sebelum ia benar-benar berlaku. Takdir di dalam bentuk ini tidak boleh dan tidak mungkin berubah secara mutlak. Jika ia berubah ia mencacat kesempurnaan Allah dan hal ini adalah mustahil di sisi Allah. Berhubung dengan ini Allah berfirman: "Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi hamba-hambaKu." (Surah Qaaf ayat 29)Takdir ini dikenali sebagai qada mubram atau 'takdir yang pasti' dan mengingkarinya akan menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama.Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu'allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga. Berhubung dengan ini Allah berfirman: "Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab." (Surah Ar-Ra'd ayat 39)Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: "Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan." Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik." (TIrmIzi)Justeru, Omar Al-Khattab ra pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: "Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku. Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan."Dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah utk mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

Jumat, 13 Maret 2009

MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG


NYATA


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian.

Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin...!


DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMAK AHLI SUNNAH.

  1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:

“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.”

(Surah Al-A’araf, ayat 157).

  1. Firman Allah Taala, “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )

Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (شعائر الله جمع شعيرة أو شعارة ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab ke atas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ yaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.

Hadis ini menunjukkan bahawa:

i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.

ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” (Riwayat Muslim dan lainnya)

iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.

  1. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari yang Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.

Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu ( kurniaan dan rahmat ) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )

FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.” ( Al-Anbiyaa’:107 )

  1. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ). Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)

KESIMPULAN

i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.

ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama lagi sempena hari kelahirannya.

iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu hari kebesaran Islam.

iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan kebaikan.

v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.

vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.

Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak, zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang salih dengan ketiadaan mengingkarinya, sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. (Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti).

Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”

Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”


DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID.

BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN

1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah , lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya.” ( Sahih Muslim ).

2) Bersabda Nabi s.a.w., “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”

3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)

4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .”

Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat-sahabat nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.


SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.

Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi s.a.w. kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.

Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w. semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang.

Adapun Fatwa al-Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada Majlis Maulid , sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w. atau mengingkari hukum membesarkan baginda.

Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”

1) Diriwayatkan daripada Said al-Khudri, Nabi bersabda, “ Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” ( iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat ), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah. ( Riwayat Abu Daud ).

Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad, bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya , nescaya nabi berkata dengan lafaz, “Berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu”, dan tidaklah perlu nabi menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua shaja bagi memapahnya.

2) Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah, “Adalah nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”

Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan nabi, samada hadir Roh Nabi di dalam Majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah ! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.

i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun nabi s.a.w dengan para nabi di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.

ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan ‘talbiah’.

iii) Didalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.

iv) Daripada abu Hurairah, Nabi Bersabda, “Sesiapa melihatku didalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga ( tidak bermimpi) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” (Bukhari dan Muslim)

Berkata Imam Sayuti, “Bahawa nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta rohnya berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat dimuka bumi dan alam malakut….”

Meriwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi,

“Bahawa roh orang mukmin berada di barzah di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.”


SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR

Allah ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :

1) “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)

Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang salih dan seumpamanya.”

2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”

3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..

Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.

Adapun hadis yang berbunyi, “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam,” dilarang memuji sehingga menganggap nabi sebagai anak tuhan atau tuhan. Firman Allah ta’ala, “ Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.” (At-Taubah:30) FirmanNya, “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah, tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (al-Maidah:73)

Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :

Meriwayat Bukhari bahawa Urwah ibnu Mas’ud as-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w. di dalam Perjanjian Hudaibiyah. Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata, “…tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil barakat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka (sahabat) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”

Telah ijmak ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawasul dengan mengambil barakat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik addar , berkata, “ Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar al-Khatab, lalu datang seorang lelaki ( Bilal Ibnu Haris al-Muzani ) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru, “ Ya Rasulullah ! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata, “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..” .”

Dalam hadis ini , lelaki berkenaan telah memberitahu kepada Saidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi Saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan lelaki itu.

Berkata as-Subki, “ Elok bertawasul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada tuhannya. Tidak seorangpun daripada Salaf dan Khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”

TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.

Telah berlaku perselisihan Ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya :-

1) Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir, “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakkan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijmak , iaitu ijmak kebanyakkan atau ijmak perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”

2) Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari kelapan Rabiulawal.

Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail Annabhani, “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka diatas pendapat inilah yang dipegangi.”

Wallahua’lam ...

Senin, 12 Januari 2009

Gaza dan Palastin

Ayoh, umat Islam semua sama-sama kita memboikot barangan buatan USA dan Israil, demi kesinambungan kehidupan saudara kita di Palastin.

colgate, nestle, coke,sprite, johnson n johnson, calvin klein, boss, gap, giorgio amani, nokia, fanta,, kleenex, kiwi, danone, maggi, huggies, starbugs, cnn, sunkist,timberland,ibm,intel, kitkat, kotex the sun, ambipur, l'oreal, time, maybeline,revlon, disney,clinnique, 20th century fox & national geographic.

Selama 16 hari serangan ganas Israel ke Semenanjung Gaza, wilayah padat penduduk, serangan darat, udara dan laut belum menampakkan Zionis Israel akan menghentikan serangan roket terhadap Daza dan pejuang Islam Hamas yang bertindak balas menyerang.
Bahkan untuk melampiaskan nafsu membunuhnya, Israel menggunakan senjata yang dilarang oleh kesepakatan antarabangsa terhadap rakyat awam. Namun serangan roket pejuang Palestin ke Israel semakin hari semakin menunjukkan kehebatannya. Mereka sudah menggunakan roket baru yang belum digunakan sebelum ini. Jangkauan roket tersebut mampu menembus wilayah strategik yang selama ini tidak dijangka oleh Israel. Seperti pangkalan militan udara dan darat Israel.
Ini bererti, perluasan serangan roket pejuang Palestin ini akan menjadikan 1 juta warga Israel hidup dalam “neraka” bahana roket pejuang Palestin. Wilayah itu adalah Ovekum di bahagian selatan, Asdod ke utara, dimana wilayah tersebut menjadi pelindung pelabuhan strategi di laut Palestin jajahan Israel tahun 1948. Sementara Asqala dan Sidreut sudah lama dihujani roket pejuang Palestin.